Sunday 2 March 2014

ADUN Balingian mesti seorang berjiwa rakyat #PRKBalingian

Penduduk terima siapa sahaja calon tetapi harus betul-betul bantu rakyat, fahami keadaan rakyat

MUKAH: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian inginkan seorang wakil rakyat yang berjiwa rakyat dan memahami keadaan rakyat sebagai mana wakil rakyat sebelum ini.

Justeru, penduduk di DUN Balingian bersedia menerima sesiapa sahaja calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mewakili Barisan Nasional (BN) yang telah ditinggalkan oleh penyandangnya, bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Taib merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian sejak 2001. Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balingian akan diadakan berikutan kekosongan kerusi itu setelah Taib berundur daripada politik.

Sehubungan itu, kedengaran nama Akit Sebli, yang berusia lewat 50-an dari Kampung Petanak dan memegang jawatan sebagai naib pengerusi PBB Cawangan N.51 Balingian heboh diperkatakan penduduk di sini.

Nama-nama lain yang turut disebut ialah Datuk Dr Juanda Jaya dan seorang jurutera yang bekerja di Kuching, berasal dari Kampung Tellian, Mukah.

Seorang penduduk Balingian, Madzhar Ahmad Sunik, 63, berkata penduduk di kawasan itu menerima sesiapa sahaja calon PBB-BN di DUN Balingian dan tetap akan menyokong dan menerimanya dengan baik.

Madzhar memberitahu, mereka cuma mahu wakil yang betul-betul membantu rakyat dan memahami susah senang mereka di sini.

“Kami sebagai penduduk di kawasan ini ingin seorang wakil rakyat yang betul-betul menjiwai dan memahami naluri rakyat.

“Kami mahu anak tempatan yang memiliki pengalaman dan telah banyak berjuang dalam parti dan berkelayakan akademik,” katanya ketika ditemui.

Setiausaha Ranting PBB Kuala Balingian Razali Sahari, 52, berkata mereka mahu seorang pemimpin yang tidak mengecewakan rakyat dan memahami keadaan hidup rakyat kerana hari ini masyarakat melihat pembangunan modal insan.

“Sesiapa sahaja calon PBB-BN kami akan sokong sepenuhnya kerana kami masyarakat di Balingian sentiasa memberi sokongan untuk membantu demi masa depan anak-anak kami dan masa depan masyarakat sendiri.

“Oleh sebab itu, kami mahukan calon yang betul-betul dapat mengatur rakyat serta menjiwai dan memahami keadaan rakyat,” katanya.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda PBB Cawangan Mukah Karnain Ali, 46, berharap sesiapa sahaja calon yang terpilih harus berwibawa dan sentiasa mengutamakan perjuangan rakyat.

“Kami tidak mahu calon yang hanya memerlukan rakyat jika perlu dan jika tidak memerlukan rakyat jarang kelihatan tampil atau meninjau kawasan yang diwakilinya,” katanya. - Borneo Post

No comments:

Post a Comment