Thursday, 27 March 2014

#PrkBalingian: BN mahu Semua Pengundi turun - Muhyiddin

MUKAH: Sasaran Barisan Nasional (BN) meningkatkan jumlah undi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Balingian kini lebih bertumpu memastikan pengundi turun seramai mungkin dalam usaha menjadikan kemenangan BN kelak lebih bergaya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata menjelang hari mengundi pada Sabtu ini hampir semua kawasan telah diliputi jentera pilihan raya yang bergerak dari setiap penjuru.

“Dalam tempoh kurang 48 jam yang tinggal ini kita hendak tingkatkan jumlah yang turun mengundi untuk memastikan undi BN akan meningkat.

“Usaha kita adalah untuk tarik lebih ramai pengundi turun menunaikan tanggungjawab,” katanya pada sidang media pada Program Pelancaran Inap Desa dan Perjumpaan Bersama Rakyat di Tanjung Pedada di sini, semalam.
Meskipun BN diyakini berupaya mengekalkan kerusi Balingian, beliau mengingatkan semua pengundi agar tidak mengambil sikap ambil mudah lantas tidak turun mengundi pada Sabtu ini.

Menurutnya, usaha menyampaikan mesej itu kepada pengundi di luar kawasan juga telah dilakukan agar mereka balik mengundi pada 29 Mac ini.

Calon BN Yussibnosh Balo bertembung dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon PKR Abdul Jalil Bujang.

Muhyiddin yang berada di Mukah semalam buat kali kedua selepas hari penamaan calon pada 17 Mac lepas berkata lagi jentera pilihan raya juga berjalan lancar seperti dirancang.

Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan isu pemilihan calon BN akan menjejaskan undi terhadap BN kelak.

“Calon bukan isu lagi dan tidak pernah jadi masalah. Sambutan pengundi terhadap calon BN pun okay,” katanya.

Menurutnya, PKR juga jelas ketandusan isu di sini apabila pembangunan di kawasan Mukah dan Balingian sudah jelas berubah berbanding 30 tahun lepas.

Sambil mengajak pengundi tidak memberi satu pun undi kepada PKR, beliau berkata parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu wajar ditolak oleh pengundi di kawasan Balingian.

“Kedudukan PKR sekarang kian lemah sesuai dengan gelarannya Parti Kian Runtuh kerana makin ramai yang meninggalkan parti,” katanya.

Malah parti itu menurutnya umpama parti anak beranak kerana kuasa kebanyakannya dikongsikan di kalangan keluarga Anwar.

“Dia letak isteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) sebagai calon menggantikannya pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang,” katanya sambil menambah, meskipun menang jumlah undi kepada PKR telah merosot lebih 1,000.

Berbanding BN yang mempunyai pelan peralihan kuasa yang lancar dan tidak mewariskan jawatan kepada ahli keluarga, Muhyiddin berkata situasi Kajang dan Balingian tidak sama.

Pilihan Raya Kecil Balingian diadakan sebagai satu proses peralihan kuasa Ketua Menteri daripada Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kepada penggantinya Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.
 
 

No comments:

Post a Comment