Thursday 27 March 2014

#PrkBalingian: Mukah Bakal Menikmati Pembangun Sektor Pelancongan

MUKAH: Bandar Mukah dan kawasan sekitarnya akan menikmati pembangunan sektor pelancongan apabila kerja-kerja pembinaan Lapangan Terbang Mukah yang baharu siap, kata Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Menurutnya, sektor pelancongan di kawasan ini masih boleh diteroka terutama daripada aspek budaya masyarakat Melanau dan ia boleh direalisasikan dengan kemampuan lapangan terbang baharu menampung pesawat lebih besar berbanding cuma jenis Twin Otter sekarang.
“Pembinan lapangan terbang baharu akan memberi kesan positif terhadap sektor pelancongan di Mukah,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Program Inap Desa dan Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Tanjung Pedada di sini semalam.
Program itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Abang Johari berkata pada tahun lepas Sarawak menyaksikan kedatangan pelancong lebih empat juta orang, iaitu peningkatan enam peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya inap desa merupakan satu produk pelancongan yang boleh diterokai oleh penduduk kampung di Sarawak.
Inap desa menurutnya kian popular terutama di kalangan pelancong asing kerana mereka dapat merasai pengalaman tinggal bersama keluarga yang menjalani kehidupan sebagai petani atau nelayan di kampung-kampung.
“Tarikan pelancong ke Sarawak ialah keamanan dan perpaduan di kalangan kaum yang berbilang jenis,” ujarnya.
Justeru, beliau meminta agar tarikan itu dipelihara dan orang ramai tidak terpengaruh dengan hasutan pihak luar yang sengaja mahu menggugatnya.
Justeru, pemimpin BN di Sarawak menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yang akan menghalang orang luar memasuki Sarawak jika didapati ingin mengganggu keharmonian kaum dan agama.

 

No comments:

Post a Comment