Thursday 27 March 2014

#PrkBalingian: Geran tanah diberi sebelum hujung tahun - KM

Tanah yang berstatus hak milik sementara dan tamat tempoh pemilikan di Kampung Jebungan di sini bakal menjadi tanah hak milik kekal oleh pemiliknya sebelum penghujung tahun ini.

Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, perkara itu pernah dijanjikan oleh bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada tahun 2011, justeru beliau memberi jaminan akan mengeluarkan geran bagi menunaikan impian itu.

“Anda semua boleh ingat kata-kata saya ini.

Saya akan pastikan tanah tersebut menjadi hak milik kekal pemiliknya di mana pemiliknya akan menerima geran tanah sebelum penghujung tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Integrasi Kampung Jebungan, semalam.

Sementara itu, Adenan berkata kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian merupakan kawasan yang dipimpin oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama dan pembangunan yang dilaksanakan memang jelas terbukti.

Oleh itu, beliau menyeru para pengundi di DUN Balingian agar tidak memilih pihak pembangkang yang tidak dikenali.

“Sebelum Taib menjadi Gabenor, dia pernah berpesan kepada saya bahawa jangan lupa untuk menyampaikan pesanannya kepada rakyat bahawa ingat pengorbanannya selama ini dan jangan cuba memberi malu kepada diri sendiri dan kerajaan yang telah banyak berkorban.

“Oleh sebab itu, sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan BN akan terus memimpin untuk kemajuan bersama,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat agar sentiasa mengekalkan perpaduan dan bersatu hati bagi memastikan keharmonian dan keamanan berkekalan sampai bila-bila.
 
 

No comments:

Post a Comment