Tuesday 25 March 2014

#PrkBalingian: Fatimah Minta Pengundi Di Luar Kawasan Keluar Mengundi


MUKAH: Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah menyeru pengundi di luar kawasan khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat untuk keluar mengundi pada 29 Mac ini.

 “Pengundi yang berada di luar kawasan khususnya mereka yang berada di kawasan  Dalat harus pergi beramai-ramai untuk mengundi bagi mencapai sasaran yang kita inginkan untuk menang dengan majoriti besar.

“Saya yakin kerana sejak sekian lama kawasan DUN Balingian adalah milik BN dan pengundi akan membuat pilihan terbaik demi kesinambungan kemajuan yang ada,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kaul Sungai Ud Dalat.

Fatimah berkata, terdapat 250 pengundi luar yang layak mengundi di DUN Balingian berada di kawasan Dalat dan kebanyakannya mereka adalah pemilih yang masih bertenaga yang berumur 30 tahun dan ke bawah.

Menyedari perkara itu, Fatimah berkata tiada masalah untuk mereka keluar mengundi dengan berusaha sendiri ke pusat pengundian sekiranya tidak ada kenderaan disediakan.

“Pengundi-pengundi yang masih muda dan bertenaga boleh pergi menggunakan kenderaan mereka sendiri beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada BN selain membuktikan sokongan kepada bekas Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo.

“Untuk PRK di DUN Balingian ini kita mahu 100 peratus undi pergi atau menyebelahi BN,” katanya.

Turut hadir SAO Daerah Dalat Zarni Rafiee, Penghulu Juhan Ilul serta tetamu kehormat yang lain.

Selain itu, Fatimah berkata tag line N.50 Dalat iaitu ‘Berakar rumbia berinti budaya akan memastikan masyarakat di kawasan Dalat terus mengekalkan budaya yang ada pada masyarakat Dalat.

Beliau memberitahu, kaum Melanau sememangnya terkenal dengan budaya walaupun masyarakatnya masing-masing menganuti agama sama ada Islam atau Kristian mereka tetap meraikan Kaul sebagai budaya manakala akidah masih kekal.

Fatimah juga ingin melihat budaya tolong menolong dan menjadikan Dalat sebagai daerah yang paling bersih dapat dicapai dengan mengamalkan budaya tersebut.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM5,000 bagi menampung kos penganjuran program Pesta Kaul Sungai Ud Dalat tahun ini.

No comments:

Post a Comment