Thursday 27 March 2014

#PrkBalingian: Jalan Baharu Mukah-Bintulu


MUKAH: Kerajaan akan membina jalan penghubung Kuala Serumpai-Kuala Tatau sepanjang 11 kilometer (km) bernilai RM230 juta yang kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada akhir bulan Jun 2016.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, apabila jalan itu siap kelak tempoh perjalanan antara Mukah dan Bintulu akan dipendekkan selama sejam.

Katanya, pembinaan jalan tersebut merangkumi pembinaan tiga jambatan terdiri daripada dua jambatan kecil yang menelan belanja RM5 juta setiap satu dan jambatan utama Jambatan Kuala Tatau bernilai RM80 juta.

“Kos jambatan sahaja sudah menelan antara RM90 juta dan RM100 juta. Jumlah kos projek kerajaan negeri ini ialah RM230 juta.

“Jalan ini sangat penting kerana ia akan menyingkatkan perjalanan pengguna jalan raya dari Mukah ke Bintulu sebanyak 120km.

“Projek ini bukan kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, sebaliknya telah diluluskan pada tahun lepas,” ujarnya pada sidang media di sini, semalam.

Manyin berkata, laluan pengangkutan tunggal dengan dua lorong itu apabila siap kelak bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk Jepak, tetapi juga Balingian dan Dalat.

Menurut beliau, pekan Balingian akan menjadi bandar transit seperti Selangau kerana ia terletak di pertengahan jalan antara Mukah dan Bintulu.

Selain itu, katanya, jalan itu akan memudahkan pengangkutan barangan dan minyak sawit dari Mukah ke Bintulu. “Press Metal Sdn Bhd juga akan mendapat manfaat daripadanya di mana tempoh pengangkutan jongkong aluminium akan menjadi lebih singkat,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment