Thursday, 20 March 2014

#PrkBalngian: TPM berpuas hati keputusan SPM, STPM

MUKAH: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah mencatat peningkatan pada tahun ini kata TPM merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Walaupun berpuas hati dengan pencapaian pada tahun ini namun beliau memberitahu bahawa usaha akan terus ditingkatkan lagi sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk memastikan prestasi sentiasa meningkat.

 “Jadi, secara berperingkat-peringkat prestasi pelajar sudah meningkat berbanding tahun-tahun lepas dan ini adalah satu tahap pencapaian yang membanggakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Merasmikan Jambatan Batang Balingian Secara Simbolik di SK Parish, Balingian semalam.

Dalam pada itu, katanya kajian terhadap penurunan mata pelajaran biasanya akan dikaji dari sudut guru yang mengajar, kandungan mata pelajaran serta pemahaman pelajar dan sekiranya pelajar lemah maka tumpuan lebih akan dilakukan.

Selain itu, Muhyiddin berkata selain Bahasa Melayu, mata pelajaran Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus dan untuk itu 85.52 peratus pelajar akan mendapat sijil penuh yang melibatkan 338,490 orang.

Beliau turut memberitahu bahawa pada mata pelajaran Matematik terdapat sedikit penurunan dan telah mengarahkan agar perkara tersebut dikaji.

“Saya telah arahkan untuk meneliti dan mengkaji kenapa mata pelajaran tersebut ada penurunan berbanding subjek-subjek teras yang lain”.

“Mata pelajaran teras yang lain mendapat peningkatan yang baik termasuk mata pelajaran tambahan dan mata pelajaran teknikal,” katanya lagi.
 
 

No comments:

Post a Comment