Wednesday 5 March 2014

Mukah dan Makanan Eksotiknya #PRKBalingian

 
 





Mukah merupakan salah satu bahagian di Negeri Sarawak dengan keluasan 2,536 km2, Kawasan pentadbiran bahagian Mukah meliputi bandar Mukah hingga ke Tanjung Manis.
 
Bandar Mukah yang didirikan di tepi Sungai Batang Mukah berada sejauh kira-kira 3.5 jam perjalanan dari Sibu. Ia dibuka oleh orang tempatan dan kemudian ditadbir oleh seorang Residen ketika pemerintahan James Brooke.
 
Mengikut banci yang diperolehi, penduduk Mukah berjumlah lebih kurang 47,900 orang dengan majoritinya berbangsa Melanau, dan suku kaum melanau adalah penduduk minoriti di negeri Sarawak. Sejarah ada menjelaskan sedikit tentang latarbelakang masyarakat melanau yang berasal dari Mongolia atau tanah besar China.
 
Pada asalnya masyarakat melanau adalah paganisme, namun perubahan masa dan persekitaran telah mengajak kaum melanau mengenali dan menganut agama Islam mahupun Kristian.
 
Kaum melanau yang tinggal dipersisir pantai majoritinya menjadikan kegiatan ekonomi utama mereka adalah menangkap hasil laut, dan menjadi petani padi sawah bagi sebahagian kecil daripada mereka yang tinggal di kawasan pendalaman.
 
Selain itu, perusahaan sagu juga diusahakan oleh kaum ini. Pokok sagu tumbuh di kawasan yang berpaya boleh ditebang selepas berusia sepuluh tahun. Tepung sagu atau lemantak diperolehi daripada isi pokok sagu yang dipanggil 'ripo'. Ripo dijemur sehingga kering dan diproses sebelum dijadikan lemantak, iaitu tepung sagu. Teknik pembuatan tepung sagu juga diselitkan di dalam tarian Melanau seperti Mengarang.
 
Sarawak merupakan pengeksport sagu yang terbesar di Malaysia.
 
Makanan Eksotik
 
Selain daripada sagu berbagai jenis makanan mentah yang menjadi kegemaran masyarakat Mukah, mereka lebih gemar makan rebus atau mentah berbanding goreng.
 
Makanan eksotik bagi kaum Melanau khususnya dibahagian Mukah seperti umai, ulat sagu (mulong), linutdan banyak lagi makanan tradisi.
 
Umai adalah hirisan ikan mentah yang masih segar. Pastinya hirisan ikan ini tidak dimasak, cuma diperap dengan jus limau kasturi, bawang merah, bawang besar, chilli, garam, dan sedikit penambah perisa.
 
Manakala ulat sagu, "siet" dalam bahasa melanau juga merupakan makanan kegemaran masyarakat melanau. "Siet" adalah salah satu makanan kegemaran penduduk Mukah, ianya enak digoreng, direbus atau dimakan mentah.
 
Dua makanan eksotik ini cukup sinonim dengan kaum melanau, khususnya bagi penduduk di Mukah. - Sarawakiana

No comments:

Post a Comment