MIRI: Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata, rakyat Sarawak tidak pernah mengamalkan budaya pelampau sebaliknya ideologi itu cuba dibawa oleh orang luar.
“Sarawak antara contoh yang mengamalkan konsep 1Malaysia dan kita tidak pernah mendengar apa-apa isu perkauman berbangkit sebaliknya ia cuba dibawa oleh orang luar,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Beliau berkata rakyat Sarawak secara keseluruhannya bersetuju dengan kenyataan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem bagi menghalang kemasukan pelampau kaum dan agama.
“Kita menolak sekeras-kerasnya ideologi pelampau perkauman dan agama kerana Sarawak adalah negeri yang bebas daripada isu-isu sensitif seperti ini kecuali ia didalangi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Wan Zain berkata bukti kukuh rakyat Sarawak hidup dalam keharmonian dan keamanan adalah apabila mereka duduk dan makan bersama tanpa mengira agama dan budaya.
Sehubungan itu, adalah wajar Sarawak menolak dan mengusir pengamal ideologi pelampau kerana golongan itu tidak berhak menjejak kaki di Bumi Kenyalang.
“Kita tidak mahu pemikiran rakyat Sarawak diracuni oleh golongan pelampau kerana golongan ini pemusnah keamanan dan keharmonian yang dikecapi rakyat hingga kini,” ujarnya.
Beliau seterusnya memberitahu, semua pihak harus bekerjasama mengusir dan menghalang kemasukan golongan fanatik kaum dan agama kerana mereka ini pemusnah keamanan.
“Oleh yang demikian, adalah wajar semua pihak terus memperkukuh perpaduan kaum supaya apa jua anasir luar yang cuba meresap masuk ke negeri ini dapat dihalang,” katanya. - Sarawakiana ( http://www.sarawakiana.net/2014/03/prkbalingian-rakyat-sarawak-tolak.html )
No comments:
Post a Comment