Sunday 23 March 2014

#PrkBalingian: Halang pelampau daripada memasuki negeri: Adenan


MUKAH: Sarawak mempunyai hak untuk menghalang pelampau kaum dan agama daripada memasuki negeri ini.

Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, beliau bukan berlagak angkuh apabila menyatakan mahu menghalang kemasukan golongan sedemikian kerana menjaga kemakmuran dan keamanan negeri adalah sebahagian daripada tugasnya sebagai Ketua Menteri.

“Saya juga mempunyai senarai nama mereka yang bersikap sebegini (pembuat kacau, pelampau kaum dan agama) dan saya berhasrat untuk menambah senarai nama itu bagi menghalang lebih ramai pembuat kacau,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Bahagian Mukah 2014 di Kingwood Resort di sini, semalam.

Hadir sama Timbalannya Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan calon BN Yussibnosh Balo.

Adenan berkata, Sarawak juga mempunyai kuasa imigresen untuk menghalang kemasukan golongan tersebut.

Sehubungan itu, Adenan menyeru ketua-ketua kaum dan ketua masyarakat agar mengusir golongan fanatik kaum dan agama daripada kawasan masing- masing.

“Tanggungjawab anda ialah memastikan keamanan dan keharmonian di rumah panjang dan kampung anda. Usir keluar mereka yang cuba menimbulkan masalah kepada anda dan kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Adenan menyeru semua pengundi agar menjalankan tanggungjawab mereka pada 29 Mac ini.

Beliau memberitahu, walaupun tidak akan menghadapi masalah untuk menang, namun rakyat tidak boleh sambil lewa terhadap perkara itu kerana BN mahu menang dengan majorit besar.

“Kita mahu menang dengan majoriti yang besar agar pihak pembangkang tahu ini adalah kubu kuat BN selain memberi pengajaran kepada mereka agar mereka tidak lagi berani untuk memasuki kawasan kita ini,” katanya.

Sementara itu, Jabu dalam ucapan alu-aluannya menegaskan beliau akan menentang sesiapa sahaja yang menghalang pembangunan kawasan luar bandar.

Beliau memberitahu, pembangkang tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya mereka menang pada PRK DUN Balingian, apatah lagi membangunkan kawasan itu.

“Rakyat perlu berfikiran bijak dan memilih BN agar rancangan pembangunan kerajaan dapat dijalankan dan masa depan masyarakat Bumiputera terjamin.

No comments:

Post a Comment