Thursday 27 March 2014

#PrkBalingian: Lebih 5,000 Usahawan Wanita Program 1AZAM Jana Pendapatan Sehingga RM10,000


MUKAH 26 MAC - Program 1AZAM yang diperkenalkan sejak tahun 2009 berjaya melahirkan seramai 5,300 usahawan wanita dengan pendapatan bersih sehingga RM10,000 sebulan.
 
Lebih terperinci, daripada jumlah tersebut seramai 363 orang merupakan usahawan wanita Sarawak dan antara perniagaan yang diceburi oleh mereka ialah bidang pertanian, perkhidmatan, perniagaan makanan serta perternakan.
Kejayaan Program Akhiri Zaman Miskin atau singkatannya 1AZAM ini merupakan kerjasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
 
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Sri Rohani Abdul Karim memberitahu, kejayaan ini adalah sesuatu yang amat membanggakan kerana mereka bermula daripada kecil-kecilan sehingga menjana pendapatan mencecah ribuaan ringgit.

Program 1AZAM merupakan inisiatif kerajaan untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah, hidup berdikari dengan menjalankan perniagaan tanpa bergantung harap kepada bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan.
 
"Perkara yang paling membanggakan di sini ialah para peserta Program 1AZAM ini berjaya meningkatkan taraf hidup mereka untuk menjana pendapatan melebihi para garis kemiskinan iaitu RM760 sehingga RM10,000 sebulan", katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan 100 Sijil Literasi Kewangan dan peralatan permulaan perniagaan (start-up kit) kepada 7 peserta 1AZAM di Parlimen Mukah khasnya peserta dari Dewan Undangan Negeri Balingian. 
Dengan adanya sijil ini, ia menandakan seseorang peserta itu layak dan bersedia mendapat peralatan seterusnya menjalankan perniagaan, Antara jenis peralatan yang diterima oleh peserta 1AZAM ini adalah seperti peralatan untuk menjahit, membuat kuih, perkakas pembuatan burger, mesin air batu campur, mesin rumput dan perkakas untuk membuat makanan.
Setakat ini seramai 140,296 peserta telah menyertai Program 1AZAM di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 91,290 orang peserta terdiri daripada kaum wanita. Statistik di Sarawak pula menunjukkan seramai 25,621 orang peserta telah menyertai program ini yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM250 juta.
 
Pada masa yang sama, Rohani memberitahu Program 1AZAM ini dibuka kepada golongan miskin tegar dan miskin yang telah disahkan berdaftar dengan eKasih.

"Setelah disahkan berdaftar dengan eKasih, bakal peserta boleh membuat permohonan melalui kementerian dan di agensi di bawahnya," jelasnya sambil memberitahu bahawa sistem eKasih ini merupakan sistem pangkalan data keluarga miskin di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment