MUKAH: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) sentiasa mengamalkan pendekatan berdamping rapat dengan rakyat untuk membantu mereka dan bukan terhad semasa pilihan raya sahaja, kata Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Fadillah Yusof.
Oleh itu, katanya program dianjurkan pergerakan itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian mendapat reaksi positif daripada kalangan penduduk.
Beliau berkata penduduk setempat juga dilihat menerima baik dan selesa dengan calon BN Yussibnosh Balo bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balingian.
“Setakat ini semua program kami disambut baik. Kami melihat bukan sahaja dari segi kehadiran tapi melihat dari segi muka (wajah), percakapan dan bahasa badan, mereka amat mesra dengan kami.
“…dan kemesraan itu melambangkan sokongan dan kegembiraan mereka terhadap calon yang kami kemukakan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Khidmat Masyarakat Pusat Khidmat Kontraktor dan Akademi Binaan Malaysia di Kampung Pulat, Balingian, kira-kira 60km dari sini.
Fadillah berkata melihat kepada maklum balas positif itu, BN yakin mampu meraih sokongan pengundi ‘atas pagar’.
“Dia (Yussibnosh) memahami proses kerajaan. Bila dia memberi perkhidmatan kepada masyarakat, dia mampu menyelesaikan masalah sebab dia mempunyai jaringan dengan penjawat-penjawat awam,” katanya.
Pada pilihan raya kecil 29 Mac ini, Yussibnosh, 48, anak kelahiran Kampung Tellian di sini ditentang calon PKR Abdul Jalil Bujang, 55, seorang usahawan yang lahir dan menetap di Bintulu.
PRK DUN Balingian diadakan berikutan pengunduran penyandangnya, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 1 Mac.- Sarawakiana (http://www.sarawakiana.net/2014/03/prkbalingian-pemuda-bn-sentiasa-dekati.html)
No comments:
Post a Comment