Wednesday 5 March 2014

#PRKBalingian- Latar belakang budaya dan keharmonian penduduk di N.51 Balingian.

 Daerah kecil Balingian mempunyai keluasan berukuran 3,032 km persegi dan berada dalam kawasan pedalaman. Kawasan Balingian terletak di antara daerah Mukah dan bandar Bintulu. Perjalanan melalui darat dari Balingian ke Mukah mengambil masa lebih kurang 1 jam. Perjalanan ke Sibu pula mengambil masa tiga jam. Balingian juga boleh dihubungi melaui laut dari Bintulu dan Tatau.
Balingian mendapat namanya dari sebatang sungai yang merentasi kawasan tersebut. Sungai tersebut pernah digunakan oleh penduduk Balingian untuk turun ke sawah kering (huma). Daerah kecil
 
Balingian juga terkenal dengan udang sungainya dan menjadi tarikan kaki pemancing. Penduduk bagi kawasan N. 51 Balingian majoritinya kaum melanau yang bukan semestinya menganut agama Islam sahaja. Ia terdiri daripada penganut Kristian dan Pagan.
 
Perkerjaan utama penduduk dikawasan ini kebanyakannya mengusahakan pintu kedai dan pasar tamu dan juga sebagai nelayan dan petani. Pasar tamu diadakan setiap minggu untuk menjual barang keperluan dan hasil pertanian kepada penduduk setempat. Penubuhan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) telah mewujudkan pasar baru, jalanraya pesisiran dan ladang kelapa sawit untuk membolehkan penduduk tempatan menceburkan diri dalam pelbagai ekonomi tempatan. Ladang kelapa sawit oleh Sarawak Oil-palm Plantation (SOP) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) telah menambahkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Kegiatan ekonomi lain yang dijalankan dalam daerah kecil Balingian termasuk penanaman rumbia, padi, dan kelapa, penternakan ayam dan pengusahaan ikan secara kecil-kecilan. Sebilangan penduduk juga bekerja sebagai pembalak. Kawasan Mukah-Balingian mempunyai simpanan arang batu yang terbesar di Sarawak iaitu sebanyak 551 juta tan metrik dan perlombongan sedang dijalankan.
 
Yang menariknya penduduk disini amat menitikberatkan keharmonian kaum dan agama. Sebagai contohnya keluarga yang menganut berlainan agama bersama-sama tinggal dibawah satu bumbung tanpa menyentuh sensitiviti agama masing-masing. Inilah keunikkannya perpaduan antara kaum serta sifat toleransi dan tiada pertelingkahan antara kaum adalah salah satu sifat yang ada secara semulajadi penduduk negeri Sarawak.
 
Kecenderungan politik kawasan Balingian sentiasa memihak kepada parti campuran Barisan Nasional. YAB Datuk Patinggi (Dr) Hj Abdul Taib Mahmud merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Balingian sejak tahun 2001. Beliau juga adalah ketua menteri Sarawak yang ke-4. Dato' Sri Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah merupakan ahli parlimen bagi kawasan Mukah, yang mana Balingian merupakan salah satu kawasan DUN dalam kawasan parlimen tersebut. Daerah kecil Balingian ditadbir oleh seorang Pegawai Pentadbir Sarawak (SAO) serta 3 orang Penghulu. Kawasan pentadbiran Balingian meliputi Kuala Balingian (Sungai Sedupai) sampai ke hulu Sungai Arip, Sungai Bawan dan Sungai Bawang Assan. - Sarawakiana

No comments:

Post a Comment