Thursday 27 March 2014

#PrkBalingian: Jangan Dengar Tohmahan Pembangkang : KM


MUKAH: Percaya pada laporan pakar, bukan dengar tohmahan pemimpin pembangkang yang mendakwa operasi Press Metal, sebuah kilang melebur aluminium di Balingian menjejaskan alam sekitar dan kesihatan penduduk sekitarnya.
 
Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata dakwaan demikian merupakan pembohongan dan tidak wajar dipercayai, malah mempunyai unsur-unsur politik.
 
“Dengar laporan pakar, bukan daripada Baru Bian atau parti pembangkang yang tuduh itu tuduh ini.
 
“Mereka pembohong, bukan sahaja menipu tetapi mahu anda semua hilang pekerjaan,” katanya berucap ketika melawat loji kilang tersebut dekat sini semalam.

Menurutnya, mereka yang menyebarkan tuduhan terhadap Press Metal mempunyai agenda agar operasinya ditutup.

“Ada orang mahu Press Metal ditutup supaya kira-kira 800 orang pekerjanya hilang pekerjaan,” katanya.

Laporan Jabatan Alam Sekitar katanya mendapati operasi loji tersebut memenuhi standard piawaian dan lulus penilaian.

Malah, Jabatan Kesihatan juga tidak pernah menerima kes pesakit yang dimasukkan ke hospital atau klinik disebabkan operasi kilang itu.
 
Penilaian tersebut menurutnya dijalankan secara berjadual dan diletakkan di bawah pengawasan tiga bulan sekali.

Justeru beliau mahu kebenaran laporan itu disebarkan oleh pekerja-pekerja Press Metal kepada ibu bapa atau saudara-mara yang tinggal di sekitar kilang.

Kerajaan menyokong Press Metal kerana ia mewujudkan aktiviti ekonomi dan menyediakan pekerjaan kepada orang ramai, katanya.

Pada lawatan tersebut, Adenan turut diberi taklimat mengenai operasi syarikat itu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Press Metal Datuk Paul PK Koon.

No comments:

Post a Comment