MUKAH, 20 Mac (Bernama) -- Elemen-elemen perpaduan dan pembangunan yang sudah menjadi teras perjuangan politik Barisan Nasional (BN) selama ini perlu diteruskan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat berterusan hasil kemajuan yang berlaku di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kedua-dua elemen yang disimpulkannya sebagai 2P ini tidak dapat dianggap sebagai perkara lumrah kerana kewujudannya di negara ini adalah hasil usaha dan kesungguhan kepimpinan BN.
Berucap dalam satu majlis bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Parish Council di Pekan Balingian, kira-kira 60km dari sini, beliau berkata sejarah telah membuktikan ada negara yang mengalami kehancuran ekoran rakyatnya mengambil mudah tentang perpaduan dan pembangunan.
"Sebab itulah penting untuk kita menentukan dua perkara pokok yang sudah menjadi teras dalam perjuangan kerajaan Barisan Nasional ini diteruskan," katanya.
Menurutnya rakyat kini perlu berhati-hati kerana sudah wujud golongan yang cuba menggugat perpaduan di kalangan pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Muhyiddin berkata golongan yang cuba menimbulkan perasaan kebencian khususnya dengan menyemarakkan perasaan perkauman dan soal-soal agama di kalangan rakyat tidak boleh dibiarkan kerana ini boleh dianggap sebagai hasutan.
"Tak kira sesiapa yang menimbulkan perkara sebegitu tetapi boleh mencetuskan perasaan tak senang hati... apatah lagi kalau dia mencetuskan perbalahan di antara kita sama kita maka itu harus kita tegah," katanya.
Beliau memuji kerajaan negeri Barisan Nasional di Sarawak melalui kesungguhan kepimpinannya untuk mewujudkan persefahaman dan kerjasama di antara pelbagai kaum di negeri ini.
"Yang penting bukan melihat kepada perbezaan kita tetapi bagaimana perbezaan ini dapat membentuk kesatuan dan perpaduan... dan perpaduan itulah akan menjamin hidup kita dalam keadaan yang aman," katanya.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment