Thursday, 6 March 2014

Keunikan dan Keistimewaan Masyarakat Melanau #PRKBalingian

Suku kaum Melanau yang dianggarkan seramai 510,000 berkumpul di persisiran pantai seperti kawasan lembah utara Sungai Rajang, Igan, Mukah, Dalat, Oya, dan Bintulu.
 
Masyarakat melanau adalah yang terawal menetap di kawasan Mukah.
 
Masyarakat Melanau merupakan suku yang beragama Islam dan Kristian, namun terdapat juga yang mempercayai makhluk ghaib yang dipanggil Ipok. ini merupakan rentetan cerita lisan masyarakat ini sendiri yang dikatakan satu kepercayaan berasaskan adat masyarakat.
 
Tidak semua bahasa serta loghat kaum Melanau serupa ianya juga berbeza mengikut tempat seperti Melanau Mukah, Melanau Dalat, Melanau Igan, Melanau Oya,Melanau Matu-Daro,Melanau Belawai-Rajang, Melanau Ba’ie (Bintulu), Melanau Balingian, dan juga Melanau Miri.
 
Bahasa Melanau mempunyai tatabahasanya yang tersendiri dan tidak begitu sukar untuk dipelajari. Sebagai satu bahasa yang mempunyai banyak dialek, bahasa melanau berkongsi tatabahasa yang serupa.
 
Oleh itu apa yang perlu ditumpukan ialah kosa kata yang unik untuk dialek itu sahaja.
 
Di alam maya laman untuk mempelajari bahasa melanau telah diusahakan oleh orang-orang melanau dan bukan melanau untuk memastikan kemandirian bahasa ini di zaman moden.
 
Budaya kaum Melanau yang tak pernah luput  ditelan zaman dan sentiasa diamal hingga hari ini, perayaan pesta Kaul disambut oleh orang Melanau dengan meriah pada bulan Mac/April setiap tahun dalam bulan Pengejin mengikut kalender Melanau.
 
Perayaan ini diadakan untuk menjamu Ipok yang mengawal laut. Tujuannya untuk memperoleh tangkapan yang memuaskan dan selamat semasa berada di laut serta mengelakkan pelbagai wabak dan penyakit.
 
Perayaan ini juga melambangkan berakhirnya musim hujan dan kedatangan atau permulaan musim menangkap ikan.
 
Dalam perayaan ini, serahang akan disediakan untuk menjamu Ipok. Serahang yang diperbuat daripada daun buluh dan daun nipah dengan memasukkan bertih, telur ayam, pulut kuning, kirai atau rokok daun, dan sirih ke dalamnya.
 
Selain Pesta Kaul yang disambut meriah setiap tahun, terdapat budaya yang masih utuh diamalkan oleh masyarakat Melanau khususnya yang melibatkan peristiwa kematian ahli keluarga. Walau bagaimanapun, amalan tersebut berbeza-beza mengikut daerah dan kampung.
 
Bagi masyarakat Melanau yang mendiami daerah Matu, amalan yang berkaitan dengan kematian sudah banyak dipengaruhi oleh agama Islam.
 
Selepas selesai majlis pengebumian, ahli keluarga akan bersedia untuk mengadakan upacara "sare" iaitu seperti rumah terbuka selama 7 malam berturut-turut.
 
Rumah keluarga si mati akan dikunjungi oleh sanak saudara dan masyarakat setempat. Akan tetapi ia sudah dipengaruhi oleh agama Islam dengan majlis tahlil, bacaan yassin, sembahyang berjemaah, dan kenduri arwah.
 
Bagi kaum melanau di kawasan N51 Balingian, adalah menjadi fenomena biasa bagi sebuah keluarga yang mana orang tuanya menganuti agama tradisional, manakala anak-anak menganuti agama Islam atau pun Kristian. Begitu juga sebaliknya.
 
Kini zaman kian berubah namun tradisi tidak pernah dilupakan dan akan sentiasa dipratikkan oleh mereka tanpa ditelan arus perubahan zaman. - Sarawakiana
 

No comments:

Post a Comment