KUCHING: Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya dalam memastikan pembangunan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, kerajaan yang sentiasa peka kepada pembangunan ekonomi dan keperluan sosial masyarakat, sentiasa berusaha memenuhi permintaan rakyat.
“Bagaimanapun, rakyat perlu faham bahawa kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan sekaligus kerana setiap pelan pembangunan perlu dirancang secara strategik dan ditapis berdasarkan keperluan masyarakat di kawasan tersebut, “ katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Segulai Sejalai di Rumah Tinggom, Sungai Sebuloh, Balingian kelmarin.
“Oleh itu, adalah penting bagi pemimpin masyarakat untuk kekal bersatu apabila membuat keputusan dalam memilih pemimpin yang sesuai sebagai wakil rakyat dalam memastikan pembangunan dapat dijalankan,” katanya.
Justeru, Jabu turut menasihati masyarakat tempatan untuk tidak mudah terpengaruh dengan pembangkang yang sering cuba memesongkan pemikiran masyarakat.
“Hanya penduduk tempatan di sini dapat memahami budaya dan adat kita dan jika dipilih, beliau mampu memenuhi keperluan masyarakat setempat,” tegasnya.
“Itulah sebabnya kerajaan BN telah memilih Yussibnosh Balo sebagai calon terbaik untuk rakyat di Mukah yang dapat berkhidmat kepada rakyat berbanding calon PKR yang sebelum ini hilang di bawah tangan BN apabila bertanding pada pilihan raya lepas,” katanya.
No comments:
Post a Comment