Friday 21 March 2014

#PrkBalingian: BN Berpeluang Besar Menang Kerusi Balingian

KUCHING: Peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada 29 Mac ini adalah sangat tinggi.

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom berkata berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN), PRK hanya tertumpu kepada satu kawasan iaitu DUN Balingian sahaja.

Beliau percaya jentera BN telah menangani segala isu yang dibangkitkan oleh rakyat mahupun pihak pembangkang di kawasan tersebut malah sebelum PRK ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sejujurnya, saya tidak dapat memberi ulasan yang mendalam mengenai proses pilihan raya bagi DUN Balingian kerana saya kurang turun padang sejak kebelakangan ini disebabkan masalah kesihatan.

“Meskipun begitu, SPDP bersama-sama dengan parti komponen BN yang lain tetap membantu calon kita dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan daripada tiga organisasi iaitu Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA), Jawatankuasa Gereja St Michael Sudoh dan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) di pejabatnya, Tingkat 6, Bangungan Baitulmakmur di sini, semalam.

Tambah Mawan, bagi memastikan kemenangan BN di Balingian, jentera SPDP bersama dengan parti komponen lain telah digerakkan untuk sama-sama turun padang berjumpa dengan rakyat dan menjelaskan mengenai dasar serta polisi kerajaan.

“Seperkara yang perlu diingatkan ialah BN tidak hanya bekerja pada pilihan raya sebaliknya senantiasa membantu rakyat tanpa mengira waktu dan masa,” tambah Mawan.

BN yang bertanding atas tiket PBB meletakkan bekas Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo sebagai calon menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Jalil Bujang.

No comments:

Post a Comment