Monday 24 March 2014

#PrkBalingian: Kawasan Iban Di Balingian Tidak Terpinggir


BALINGIAN: Kebanyakan kawasan Iban di Balingian kini mempunyai akses jalan raya, bekalan air dan elektrik yang baik, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau memberitahu untuk itu rakyat di kawasan itu tidak seharusnya memberi sokongan kepada ‘orang luar’ iaitu calon pembangkang.

“Bagi kami daripada Barisan Nasional (BN), kami meletakkan calon tempatan yang berkelayakan dan berpengalaman iaitu saudara Yussibnosh Balo dan sekiranya beliau dipilih menjadi wakil rakyat di sini maka lebih banyak pembangunan akan dapat dilaksanakan untuk kawasan anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Pemasangan Elektrik Luar Bandar (RES) di Rumah Umin, Sungai Liok di sini semalam.

“Malah, isteri calon kita adalah dari kalangan masyarakat Iban, beliau pastinya akan memberi tumpuan kepada kamu (orang Iban),” tambahnya.

Shafie memberitahu, kerajaan telah membelanjakan RM1.7 juta untuk RES di kawasan luar bandar yang telah memberi manfaat kepada 360 orang daripada lima rumah panjang iaitu Rumah Bangan, Rumah Manggi, Rumah Randi, Rumah Kasit dan Rumah Umin.

Menurutnya, kerajaan juga telah memperuntukkan RM60 juta untuk kemudahan asas bagi DUN Balingian dari tahun 2010 hingga 2015.

Pada masa sama beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan pusat juga mahu melihat pembangunan yang holistik di kawasan luar bandar.

“Kita juga akan melaksanakan cara untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan luar bandar selain memberi kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar adalah faktor fizikal dan geografi penempatan luar bandar di Sarawak.

“Disebabkan kita menggunakan pelbagai kaedah untuk melaksanakan kemudahan asas di kawasan pedalaman terutama penempatan rumah panjang contohnya, kita mahu menyambung bekalan air bersih ke rumah panjang yang beratus kilometer jauhnya dari pusat rawatan air, maka ia memerlukan kos yang tinggi.

“Maka itu, kita menggunakan teknologi nano terkini untuk merawat air yang lebih menjimatkan untuk mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Sementara itu tambahnya, bagi bekalan elektrik pula, kerajaan menggunakan kaedah teknologi tenaga solar dan mikro hidro.

“Bagi sesetengah tempat kita menggunakan tenaga angin untuk menghasilkan elektrik,” jelasnya.

Menyentuh mengenai calon BN, Shafie yakin rakyat di Balingian akan memilih calon itu pada 29 Mac.

“Pengundi di sini sudah matang dan saya yakin mereka akan memilih dengan bijak iaitu dengan mengundi calon BN…slogan ‘Keadilan Untuk Anwar’ tidak releven di sini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kira-kira 80 peratus populasi di negeri ini sudah menikmati kemudahan RES dan 90 peratus kemudahan bekalan air dirawat.

Jelasnya, di bawah NKRA, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM1.7 bilion untuk melaksanakan RES dan sejumlah RM1.7 bilion untuk bekalan air terawat.

Hadir sama Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar Datuk Julaihi Narawi serta Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.- Sarawakiana (http://www.sarawakiana.net/2014/03/prkbalingian-kawasan-iban-di-balingian.html)

No comments:

Post a Comment