Tuesday 11 March 2014

Calon BN untuk Balingian mungkin diketahui hari ini #PRKBalingian

KUCHING: Teka-teki mengenai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian mungkin terjawab hari ini, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.
 
Beliau berkata, Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem bakal mengumumkan calon BN bagi PRK DUN Balingian selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
 
Malah, menurutnya, mesyuarat yang berlangsung juga sudah pasti akan memberi tumpuan khusus kepada calon bertanding, selain persiapan jentera parti untuk mempertahankan kerusi tersebut.
“Esok (hari ini) Ketua Menteri (Tan Sri Adenan) bakal mengumumkan calon BN untuk PRK DUN Balingian.
 
“Tunggu selepas kita bermesyuarat esok (hari ini). Calon akan diumumkan sendiri oleh Ketua Menteri.
 
“Saya percaya Ketua Menteri akan umumkan nama calon selepas selesai mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Agihan Bantuan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di sini, semalam.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tarikh pengumuman calon BN untuk PRK DUN Balingian.
 
Kerusi tersebut kosong selepas penyandangnya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri pada 1 Mac.
Tarikh untuk penamaan calon bagi PRK DUN Balingian ditetapkan 17 Mac, manakala hari mengundi pada 29 Mac. - utusan borneo
 
 

No comments:

Post a Comment