Mukah, 27 Mac – Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukan sebanyak RM46 juta bertujuan membantu golongan yang memerlukan di Sarawak pada tahun 2014 ini.
Peruntukan tersebut merangkumi bantuan untuk kanak-kanak, orang tua, elaun pekerja cacat, bantuan penjagaan bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak berupaya bekerja, OKU pesakit kronik terlantar, dan bantuan am.
Pada tahun 2013, bilangan penerima bantuan kebajikan bagi negeri Sarawak adalah seramai 56,072 orang dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM164,177,135.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim memberitahu, perkara ini jelas menunjukkan kerajaan pusat memberi tumpuan khusus untuk membantu golongan yang memerlukan di negeri Sarawak.
“ Ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan melalui JKM amat prihatin dan serius untuk membantu masyarakat Sarawak yang susah terutamanya dalam hal berkaitan kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Program Lawatan Mesra ke beberapa rumah individu yang dikategorikan sebagai pesakit terlantar yang juga merupakan penerima Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) JKM di sini hari ini.
Turut hadir sama pada program lawatan tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dato’ Noraini Hashim.
Pada masa yang sama, Rohani turut memberitahu bahawa daripada jumlah RM46 juta tersebut, JKM telah menyalurkan sebanyak 1.35 juta kepada 2,229 penerima BPT di Sarawak setakat bulan Januari hingga Februari 2014.
“Manakala di Mukah pula pada tempoh yang sama, JKM telah memberi sebanyak RM50,700 kepada 84 penerima BPT dan saya ingin puji komitmen serta kecekapan yang ditunjukkan oleh semua pegawai JKM dalam usaha menyalurkan bantuan tersebut yang mana kesemuanya telah sampai ke tangan penerimanya dengan lancar,” ujar beliau.
Selain itu, beliau turut menyeru rakyat Sarawak yang memerlukan datang ke pejabat JKM berdekatan untuk mendapatkan bantuan-bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan.
“Oleh itu, saya ingin menyeru agar golongan yang betul-betul susah dan layak pergi ke pejabat JKM untuk memohon. Gunakanlah segala kemudahan dan bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan ini kerana ia hak anda,” tegas Rohani lagi.-Sarawakiana
No comments:
Post a Comment