Thursday 27 March 2014

#PrkBalingian: KERAJAAN SERU AGAR WANITA TUBUH LEBIH RAMAI KUMPULAN



MUKAH, 26 Mac - Kerajaan menyeru agar lebih ramai golongan wanita sertai PERWANI bagi mencapai sasaran penubuhan 100,000 PERWANI menjelang tahun 2015 nanti.
 
Setakat ini sebanyak 4,914 kumpulan PERWANI telah ditubuhkan yang merangkumi 64,158 ahli di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Sri Rohani Abdul Karim berkata, jumlah PERWANI perlu ditingkatkan lagi untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan memandangkan peranan kumpulan tersebut penting dalam usaha menyebarkan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan selama ini.

"Saya berharap lebih ramai lagi wanita sertai PERWANI sama ada yang tinggal di dalam atau di luar bandar. Ia termasuklah golongan wanita yang masih menuntut di Universiti, bekerja dan surirumah. Janji umur mereka 18 tahun ke atas', katanya selepas merasmikan Program Taklimat Komuniti PERWANI 1 Malaysia di Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Seberang, Sungai Alo di sini hari ini.

PERWANI ialah merupakan pertubuhan yang diwujudkan untuk menyebarluas dan memberi penerangan, mengenai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan, membantu JKKK, Persatuan Penduduk, Rukun Tertangga dan AMANITA meningkatkan keselamatan kejiranan, melaksanakan program transformasi komuniti dan pemerkasaan ekonomi.

Ia dibuka kepada golongan wanita yang berumur 18 tahun ke atas di seluruh Malaysia dan diwakili oleh 10 hingga 20 orang dalam satu kumpulan. Untuk menjadi ahli, orang ramai boleh mendapatkan borang di pejabat KPWKW dan agensi di bawahnya iaitu di Jabatan Pembangunan Wanita.
 
Dalam perkembangan yang sama, Rohani memberitahu sasaran PERWANI yang telah ditetapkan di Sarawak ialah sebanyak 3,000 menjelang hujung tahun 2014 ini dan setakat ini hanya 308 PERWANI yang ditubuhkan merangkumi seramai 3,739 ahli.

Pada masa yang sama, beliau turut menafikan bahawa jumlah PERWANI ini masih sedikit kerana tiada sambutan yang menggalakkan.
 
"Jumlah PERWANI kini masih sedikit bukan kerana tiada sambutan. Sebenarnya banyak sambutan dan bilangan penubuhan PERWANI kini boleh dilihat sedikit demi sedikit. Ini kerana PERWANI baru sahaja dilancarkan bulan Februari lalu. Saya yakin ramai yang akan mendaftar selepas ini dan sasaran mampu dicapai," jelas beliau.

Bagi tujuan memudahkan urusan pendaftaran PERWANI, pihak kementerian telah meletakkan borang penubuhan di pejabat agensi di bawah KPWKM dan juga jabatan kerajaan yang lain.

Pihak kementerian juga kini dalam proses menyiapkan laman sesawang PERWANI untuk memudahkan orang ramai mendapatkan borang secara talian di samping mengadakan pelbagai aktiviti promosi bagi meningkatkan bilangan PERWANI di seluruh Malaysia.

No comments:

Post a Comment