MUKAH: Permintaan orang ramai terhadap sushi Sarawak atau Umai meningkat lima kali ganda sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil Balingian.
Senario itu mengembirakan usahawan umai sambil menyifatkannya sebagai tempoh paling menguntungkan kerana ketika inilah, mereka berpeluang mengandakan pendapatan berbanding hari biasa.
Seorang pengusaha makanan, Fatimah Bolhassan, 45, berkata, PRK kali ini adalah pengalaman pertama bagi mereka.
Sejak seminggu lalu katanya, pengunjung yang datang ke Mukah meningkat mendadak.
"Mereka dari seluruh pelusuk negeri termasuk Semenanjung Malaysia yang belum pernah datang ke sini. Ada yang datang berseorang dan berkumpulan.
"Tempahan meningkat mendadak menyebabkan kami tidak menang tangan," katanya.
Melati Sirat, 30, berkata, Mukah memang cukup terkenal dengan penghasilan umai segar dan ia menjadi sumber pendapatan utama penduduk sekian lama.
Jolokan Mukah sebagai bandar umai katanya, menyebabkan produk yang berasaskan ikan mentah itu menjadi tumpuan setiap kali berlangsungnya acara keramaian.
"Kami tidak berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan kerana PRK Balingian diadakan pada musim ikan. Antara ikan yang mendapat permintaan tinggi ialah tenggiri dan pirang," katanya.
Dalam pada itu, Bolhan Keri, 38, berkata, umai segar dijual dengan harga berpatutan mengikut permintaan pelanggan.
"Umai Mukah istimewa kerana diperbuat daripada ikan yang betul betul segar. Saya boleh katakan sebagai yang terbaik dari laut.
"Ia berharga serendah rm5 hingga rm15. Kami tidak menaikan harga meskipun jumlah pelanggan kini meningkat berkali ganda, " katanya.
No comments:
Post a Comment