Thursday 27 March 2014

#PrkBalingian: Subsidi Diesel Nelayan Dikekalkan

MUKAH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan mengekalkan subsidi diesel kepada nelayan sebagai tanda galakan dan sokongan kerajaan dalam membangunkan industri itu.

Menurutnya, kerajaan ingin melihat golongan nelayan yang merupakan penyumbang dalam penghasilan bidang makanan negara tidak terlalu dibebani kos bahan bakar untuk menangkap ikan.

“Keperluan nelayan tidak boleh diabaikan memandangkan mereka mempunyai peranan penting dalam memastikan rakyat mendapat bekalan makanan dan protein mencukupi.

“Kerajaan berpendapat golongan ini (nelayan) perlu terus diberi sokongan agar negara dapat bekalan makanan laut yang mencukupi,” ujarnya pada Program Pemimpin Bersama Komuniti Nelayan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-40 Persatuan Nelayan Kawasan Mukah/ Oya di sini semalam.

Muhyiddin berkata, kemudahan diberi kerajaan itu wajar dimanfaatkan sebaik mungkin oleh nelayan termasuk perlu berikhtiar membangunkan ekonomi dengan menyertai industri hiliran, misalnya pemprosesan ikan menjadi bebola ikan atau produk lain.

“Kerajaan mahu membina industri nelayan kerana kita mahu nelayan moden yang ada kebolehan dan kemahiran supaya mereka mempunyai keupayaan bukan sahaja dalam menangkap ikan tetapi dalam memproses hasil tangkapan yang boleh memberikan nilai tambah kepada usaha mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersedia membantu merealisasikan usaha itu melalui pemberian pinjaman mudah dan bantuan-bantuan lain yang diperlukan oleh komuniti berkenaan.

Justeru, beliau meminta golongan nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada 29 Mac ini.

Dengan menyokong Yussibnosh Balo, menurutnya, merupakan kesinambungan terhadap usaha pembangunan bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang sebelum ini merupakan wakil rakyat DUN Balingian.

“Selama 33 tahun menjadi Ketua Menteri, beliau (Taib) telah banyak berjasa dan penting untuk Balingian meneruskan perjuangan yang belum selesai,” ujarnya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan kelulusan peruntukan berjumlah RM450,000 kepada Persatuan Nelayan Kawasan Mukah/Oya bagi pembelian sebuah kenderaan pacuan empat roda dan mesin pengisar ais.
  

No comments:

Post a Comment