Thursday 20 March 2014

#PrkBalingian: Calon BN Mewakili Gabungan Kebangsaan - Jabu

MUKAH, 19 Mac (Bernama) -- Yussibnosh Balo, calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Balingian mewakili gabungan kebangsaan dengan matlamat utamanya semata-mata untuk berkhidmat kepada rakyat.
 
Sebaliknya, calon pembangkang Abdul Jalil Bujang daripada PKR bertanding hanya untuk memenuhi cita-cita politik individu tertentu, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
 
Beliau berkata BN meletakkan calon yang telah ditapis dengan teliti dan dipilih berdasarkan kelayakan dan pengalaman yang terbukti untuk berkhidmat kepada rakyat dan ini berbeza dengan pembangkang yang mengemukakan calon 'kitar semula'.
 
Beliau berkata demikian pada perjumpaan bersama rakyat di Rh.Geruna, rumah panjang 14 pintu di Temesu dekat sini dan juga untuk memperkenalkan calon BN kepada masyarakat Iban.
 
Tiga puluh tujuh orang Tuai (ketua) rumah panjang dari rumah panjang di kawasan sekitar menghadiri perjumpaan itu. Turut hadir ialah Setiausaha Agung BN negeri Datuk Dr. Stephen Rundi.
 
Jabu berkata rakyat tidak harus membenarkan diri mereka diperdaya oleh pembangkang.Beliau bagaimanapun yakin bahawa 3,875 pengundi berdaftar yang terdiri daripada masyarakat Iban di kawasan itu akan terus menyokong BN.
 
Sementara itu, beliau mengingatkan masyarakat luar bandar di negeri ini bahawa tempoh tujuh tahun sebelum tahun 2020 amatlah penting bagi mereka untuk bersaing dengan masyarakat bandar yang lebih maju.
 
Oleh itu, adalah penting mereka memberi sokongan padu dan bekerjasama rapat dengan kerajaan.-- BERNAMA
 
 

No comments:

Post a Comment