Thursday 20 March 2014

#PrkBalingian: Kempen PRK di Balingian

MUKAH - Pilihan Raya Kecil Balingian pada 29 Mac ini diumpamakan pertembungan antara dua individu yang kurang dikenali.

Kedua-dua calon itu Yussibnosh Balo, 48, daripada Barisan Nasional (BN) dan calon PKR, Abdul Jalil Bujang, 55 memang tidak berapa dikenali dan pertama kali diketengahkan dalam arena politik Balingian, Mukah, Sarawak.

Tetapi sebahagian 13,366 pengundi berdaftar di sini pernah mendengar nama Abdul Jalil kerana beliau pernah bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Jepak pada 2011 dan tewas kepada calon BN, Datuk Talip Zulpilip.

Kelebihan Yussibnosh ialah beliau merupakan bekas pegawai daerah Dalat dan anak jati Kampung Tellian di Mukah menyebabkan beliau lebih popular.

Kempen BN antaranya menyasarkan pengundi Iban berjumlah 3,875 orang membabitkan 78 rumah panjang, kebanyakannya boleh diakses sekurang-kurangnya melalui jalan batu kelikir ladang kelapa sawit.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu memulakan kempen memperkenalkan Yussibnosh kepada pengundi di Rh.Geruna di Temesu, rumah panjang 14 pintu dekat sini.  Pada perhimpunan di Rumah panjang tersebut Tan Sri Alfred Jabu memaklumkan bahawa beliau dan Dr Stephen Rundi telah mengadakan perjumpaan dengan 41 daripada 78 ketua rumah panjang di kawasan itu baru-baru ini untuk mendengar dan merekodkan masalah mereka dan permintaan penduduk di situ.


Jabu berkata beliau dan pemimpin Dayak yang lain akan meneruskan usaha di peringkat akar umbi untuk membantu Yussibnosh. Masyarakat Melanau Kristian di sini juga gembira kepimpinan tertinggi BN tidak melupakan perjanjian tidak bertulis mereka iaitu seorang daripada wakil rakyat di Mukah mesti dipilih dalam kalangan Kristian jika dua lagi (anggota Parlimen Mukah dan anggota wanita DUN Dalat) adalah daripada masyarakat Islam.


Di Balingian, selain pengundi berbangsa Iban, terdapat 7705 orang pengundi berbangsa Melayu/Melanau dan 1683 orang pengundi berbangsa Cina.
 
 

No comments:

Post a Comment