Monday, 24 March 2014

#PrkBalingian: Penurunan Majoriti Bukti Protes Terhadap PKR



MUKAH: Penurunan majoriti dimenangni PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, 23 Mac lepas dan penurunan peratusan keluar mengundi menggambarkan rasa tidak puas hati pengundi terhadap parti itu.

Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian bagi mengulas kemenangan PKR pada PRK Kajang menewaskan calon BN dengan majoriti 5,379 undi, menurun berbanding 6,824 undi majoriti pada Pilihan Raya Umum 2013.

“Terdapat signifikan ke atas penurunan tersebut berbanding Pilihan Raya Umum 2013 dan ini jelas menunjukkan bahawa rakyat tidak gembira dengan apa yang berlaku di Kajang.

“Malah saya berpendapat bahawa antara sebab penurunan majoriti ialah ada di kalangan mereka yang merasakan bahawa Pilihan Raya Kecil tersebut tidak perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Seminar Perindustrian dan Perdagangan di Dewan Suarah Mukah di sini semalam.

Tambah Awang Tengah, PRK Kajang dilihat mencemar sistem demokrasi negara dan mempunyai motif peribadi demi kepentingan pihak tertentu.

Sebab itu sokongan orang ramai dan pengundi menurun meskipun PKR diwakili oleh Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas mengenai kehadiran lebih ramai pemimpin PKR ke Sarawak bagi membantu PKR pada PRK Balingian, Awang Tengah berkata tiada apa yang harus dirisaukan.

Ini kerana katanya rakyat tetap menyokong Barisan Nasional (BN) dan terus yakin dengan komitmen BN dalam membantu dan membangunkan rakyat.

“Saya tidak tahu apa pergerakan mereka (PKR) kerana saya hanya memikirkan mengenai kelancaran bilik operasi jentera BN di Balingian,” katanya.

Tambah Awang Tengah, rakyat tahu kemampuan BN dan menyedari bahawa PKR tidak akan mampu melakukan sebaik BN.

Beliau turut mengingatkan rakyat mengenai legasi yang ditinggalkan oleh bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang berjaya mentransformkan Balingian termasuk Mukah.

“Saya yakin rakyat akan terus menyokong BN dan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem telah menjelaskan akan meneruskan rancangan yang baik untuk semua,” kata Awang Tengah.- Sarawakiana (http://www.sarawakiana.net/2014/03/prkbalingian-penurunan-majoriti-bukti.html)

No comments:

Post a Comment