Sunday 3 August 2014

Kenyataan Abdul Karim berhubung petisyen tidak tepat, kata See

 
KUCHING: Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa orang awam tidak boleh memfailkan petisyen untuk mengeluarkan Datuk Bandar adalah tidak tepat, kata Naib Pengerusi PKR Negeri See Chee How.
 
Menurut beliau, Datuk Bandar adalah orang politik yang dilantik, jadi beliau harus memastikan bahawa beliau melakukan kerjanya agar rakyat boleh mempercayai beliau untuk menjaga kepentingan mereka.
 
“Dalam insiden membabitkan tempat parir dekat Tebingan Miri, di bawah undang-undang Datuk Bandar Miri Lawrence Lai mempunyai jagaan ke atas semua tempat parkir.
 
“Tetapi apabila Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo pergi ke Jabatan Tanah dan Survei untuk bertanyakan pelan kejuruteraan, beliau diberitahu pelan itu tiada.
 
“Oleh itu, majlis harus menjelaskan dan Dr Teo meminta majlis untuk mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman Karim yang terletak di Jalan Astana di sini, semalam.
 
See yang juga ADUN Batu Lintang menambah, beliau tidak setuju dengan dakwaan Karim bahawa tiada garis undang-undang untuk petisyen bagi mengeluarkan Datuk Bandar.
 
Tambahnya, Karim yang juga Menteri Muda Pembangunan Bandar mungkin tidak mendapat gambaran yang sebenarnya mengenai situasi itu dan beliau bersedia untuk menjelaskan kepada Karim.
 
Kelmarin, Karim dalam kenyataannya berkata Dr Teo dilihat seolah-olah mengikuti undang-undang rimba dalam menimbang untuk menyingkirkan Datuk Bandar Miri susulan isu tersebut.
 
Karim turut menyifatkan tidakan Dr Teo tersebut sebagai mahu mendapatkan publisiti murahan.
 
Dr Teo sebelum ini mendakwa Lai gagal menjalankan tugasnya menjaga kepentingan orang awam apabila membenarkan pembangunan jalan akses bagi menghubungkan Marina Bay dengan Jalan Bendahara.
 
Projek berkenaan telah menjejaskan lebih daripada 100 lot parkir kereta.-Utusan Borneo